Terbuka AS: Thiem penuhi impian dengan gelaran grand slam pertama

Oleh Muzaffar Musa 14 September 2020 133
Terbuka AS: Thiem penuhi impian dengan gelaran grand slam pertama
Dominic Thiem menyifatkan kejayaan menjuarai Kejohanan Tenis Terbuka Amerika Syarikat (AS) awal pagi tadi sebagai impian menjadi kenyataan selepas bangkit daripada ketinggalan dua set untuk memenangi gelaran grand slam pertamanya di New York.

Selepas tiga kali muncul naib juara kejohanan utama, pemain pilihan kedua kejohanan itu akhirnya menamatkan penantiannya dengan menewaskan Alexander Zverev 2-6, 4-6, 6-4, 6-3, 7-6 di Flushing Meadows.

Pemain berbangsa Austria itu, yang bangkit daripada permulaan perlahannya, menjadi pemain pertama memenangi Terbuka AS selepas ketinggalan dua set dalam era terbuka dan kali pertama sejak 1949.

Thiem juga menjadi pemain pertama yang lahir dalam era 90an memenangi gelaran grand slam selepas bersaing selama lebih empat jam dalam aksi turun naik di Stadium Arthur Ashe itu.
 
"Sememangnya saya mencapai satu sasaran dalam hidup saya, impian diri saya, di mana saya mahukannya sejak bertahun-tahun lalu," katanya kepada wartawan sebaik menudukkan pemain pilihan kelima dari Jerman, Zverev.

"Sudah pasti, sejak kanak-kanak, sejak saya mula bermain tenis tetapi ia kelihatan terlalu jauh pada ketika itu.

"Kemudian saya semakin hampir ke puncak. Pada satu tahap, saya sedar bahawa, wah, mungkin satu hari nanti saya benar-benar akan memenangi salah satu daripada empat kejohanan besar dalam tenis.

"Saya berusaha dengan gigih untuk mendapatkannya. Maksud saya, saya mendedikasikan seluruh hidup saya sehingga tahap ini untuk memenangi salah satu daripada empat kejohanan utama.

"Kini saya melakukannya. Ia juga satu kejayaan besar buat diri saya.

"Maknanya, ia satu kejayaan bukan untuk diri saya sahaja, ia kejayaan buat seluruh pasukan saya,  seluruh keluarga saya.

"Saya fikir hari ini juga merupakan hari saya membalas apa yang telah mereka lakukan untuk saya," katanya.

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen