Naomi Osaka menjulang trofi Kejohanan Tenis Terbuka Amerika Syarikat (AS) buat kali kedua dalam tempoh tiga tahun dan dia kini dapat meraikannya dengan cara sebenar.

Kejayaan pertamanya pada 2018 terganggu dengan insiden pertelingkahan di antara Serena Williams dan pengadil, Carlos Ramos, yang mengakibatkan kekecohan di tempat duduk penonton sehingga majlis penyampaian trofi.

Osaka menyembunyikan tangisnya di sebalik topinya dan ia bukanlah pengalaman dalam kejayaan grand slam pertama yang diinginkan sesiapa.

Ketika majlis itu, Osaka tidak dapat tersenyum. Menyedari penonton lebih mahukan Serena bergelar juara, dia kemudian berkata: "Saya tahu semua orang bersorak untuknya dan saya memohon maaf ia berakhir seperti ini."

Tetapi kali ini, Osaka memperoleh momennya sendiri walaupun ia tidak seperti biasa, tanpa kehadiran penonton di Stadium Arther Ashe, dia masih dapat meraikannya bersama pegawai, pemain, jurulatih dan orang tersayang.

Dia meraikan kejayaan itu dengan pasukannya dan tiada apa dapat menggangu momen itu.

Kepuasan itu jelas kelihatan apabila pemain berusia 22 tahun itu kelihatan terbaring di atas gelanggang selepas memastikan gelaran grand slam ketiganya dengan menewaskan Victoria Azarenka 1-6,6-3,-63.

Dia menjadi pemain pertama bangkit daripada ketinggalan satu set untuk memenangi final Terbuka AS sejak Arantxa Sanchez Vicario melakukannya ke atas Steffi Graf pada 1994.