Kei Nishikori diuji positif koronavirus buat kali kedua, hanya seminggu sebelum Kejohanan Tenis Terbuka Amerika Syarikat (AS) membuka tirai.

Bekas pemain nombor empat dunia itu menarik diri daripada kejohanan Terbuka Western and Southern di New York selepas dijangkiti COVID-19.

Nishikori berkemungkinan terpaksa melupakan kejohanan grand slam kedua musim ini, yang akan bermula di Flushing Meadows pada 31 Ogos ini, selepas mengetahui bahawa dia masih dijangkiti virus berkenaan.

Naib juara Terbuka AS pada 2014 itu melakukan kiriman dalam sosial media: "Sedikit perkembangan, saya baru sahaja menjalani satu lagi ujian COVID-19 dan masih positif.

"Saya hanya mempunyai gejala yang sangat minimum dan sedang menjalani pengasingan di Florida.

"Ujian seterusnya pada awal bulan depan dan pada ketika itu, kami akan memaklumkan lebih banyak informasi buat anda," katanya

Nishikori perlu memperoleh dua keputusan negatif sebelum boleh menyertai kejohanan di dalam gelembung di New York itu.