Rafael Nadal penuh beremosi sambil menyifatkan kemenangan dalam Grand Slam Terbuka Amerika Syarikat (AS) ke atas Daniil Medvedev hari ini sebagai "perlawanan yang gila" setelah merangkul gelaran grand slam ke-19.

Nadal menewaskan Medvedev 7-5, 6-3, 5-7, 4-6, 6-4 dalam aksi penentuan luar biasa yang berlanjutan sehingga empat jam 49 minit di Stadium Arthur Ashe itu untuk menghampiri rekod 20 gelaran utama milik Roger Federer.

Pemain handalan Sepanyol itu menyerahkan kelebihan dua set terawal sebelum menyaksikan kebangkitan lawannya itu mengheretnya ke set penentuan biarpun suatu ketika ketinggalan 2-5, sebelum dia memuktamadkan gelaran Terbuka AS yang keempatnya itu.

Dia melabelnya sebagai satu pertemuan luar biasa selain memberi penghormatan kepada pemain Russia itu, yang merakam kemenangan paling banyak dalam Jelajah ATP tahun ini.

"Kemenangan ini begitu bermakna sekali, terutama cara pertarungan ini yang sangat getir, cukup sukar," katanya dalam temu bual di lapangan selepas perlawanan itu.

"Saya dapat mengekalkan ketenangan memandangkan ia cukup mendebarkan selepas pertarungan (set kelima) saya mendahului 5-2, 5-4, kemudian memperoleh mata 'break'. Ini satu perlawanan yang gila, saya sangat beremosi."

Tambahnya: "Ia adalah satu perlawanan akhir yang menakjubkan. Saya berdepan aksi turun naik tetapi secara jujurnya, perkataan pertama yang saya ucapkan (syabas) adalah kepada Daniil.

"Musim panas (yang diharunginya) merupakan salah satu musim terbaik yang pernah saya lihat sejak saya berkecimpung dalam sukan ini. Oleh itu, semua orang tahu mengapa dia adalah pemain nombor empat dunia pada usia hanya 23 tahun, tahniah buatnya atas segala-galanya."

Satu klip yang dimainkan di Stadium Arthur Ashe itu sejurus perlawanan akhir itu, memaparkan setiap gelaran grand slam yang dimenanginya sebagai satu bentuk penghargaan beremosi.

Pemain berusia 33 tahun itu, yang menerima beberapa amaran kerana melengah-lengahkan masa permainan, mengucapkan terima kasih kepada peminat di New York.

"Ia menjadi salah satu malam yang paling beremosi dalam kerjaya saya," katanya lagi.

"Dengan rakaman itu, atas semua sokongan, anda semua begitu mengagumkan. Biasanya, saya mengucapkannya di bahagian terakhir tetapi hari ini, ia akan menjadi yang pertama. Terima kasih kepada semua orang di stadium ini, (anda) menjadi (sumber) tenaga yang luar biasa.

"Ia merupakan satu keseronokan dan penghormatan yang hebat untuk beraksi di hadapan anda, di stadium yang menakjubkan ini. Saya fikir tiada satu pun stadium yang (mewujudkan) aura yang lebih bertenaga daripada di sini. Terima kasih banyak atas segala-galanya."