Terbuka AS: Murray jangka lebih ramai bintang tarik diri selepas Barty

Oleh Muzaffar Musa 31 Julai 2020 57
Terbuka AS: Murray jangka lebih ramai bintang tarik diri selepas Barty
Andy Murray menjangkakan lebih ramai pemain bintang akan menarik diri daripada Kejohanan Tenis Terbuka Amerika Syarikat (AS) selepas Ashleigh Barty mengumumkan bahawa dia tidak akan menyertai kejohanan itu.

Terbuka AS akan bermula pada 31 Ogos ini tetapi Barty -- pemain wanita nombor satu dunia -- mengesahkan kelmarin bahawa dia memilih untuk tidak menyertai kejohanan grand slam itu kerana pandemik koronavirus.

AS merupakan negara yang paling terjejas berikutan COVID-19 dengan lebih daripada 4.6 juta kes positif dicatatkan termasuk bilangan kematian yang telah mencecah 154,000 mangsa.

Murray, yang merancang untuk beraksi dalam Terbuka AS, berkata dia menjangkakan lebih ramai pemain bintang lain akan menarik diri daripada beraksi di Flushing Meadows.

"Saya fikir akan lebih ramai lagi (menarik diri)," kata pemenang tiga kejuaraan utama itu semalam.

"Saya dengar ada beberapa pemain lelaki utama tidak akan beraksi, saya menjangkakan ia akan terjadi."

Murray berkata terdapat beberapa kebimbangan dalam penganjuran kejohanan itu tetapi percaya dirinya akan selamat sebaik tiba di sana.

"Ia keputusan individu. Jika mereka tidak berasa selamat dan tidak berasa selesa untuk berlepas dan pergi ke sana dan meletakkan diri dan pasukan mereka dalam keadaan berisiko, ia amat mudah difahami.

"Setiap pemain mempunyai pilihan dan ia sama ada anda berasa selesa atau tidak untuk mengambil risiko itu.

"Seperti yang saya katakan sebelum ini, persaan saya adalah sebaik kami berada dalam gelembung yang mereka bina, kami akan selamat.

"Saya lebih gusarkan dengan penerbangan antarabangsa untuk ke sana," katanya lagi.
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen