Novak Djokovic selesa meneruskan kemaraannya dalam Kejohanan Tenis Terbuka Amerika Syarikat (AS) selepas memperoleh kemenangan straight-set ke atas Jan-Lennard Struff awal pagi tadi.

Dalam pemburuan gelaran grand slam yang ke-18, Djokovic tidak berdepan masalah untuk menang 6-3, 6-3,6-1 di Stadium Arthur Ashe.

Pemain nombor satu dunia itu melebarkan rekod kemenangannya kepada 26-0 sepanjang 2020 dan hanya melepaskan satu set dalam tiga pusingan pertamanya di New York.

Djokovic kini mara ke pusingan keempat buat kali ke-13 dalam Terbuka AS, di mana tiga daripadanya berakhir selaku juara.

Pemain berbangsa Serbia itu memenangi kesemua empat pertemuan terakhirnya dengan Struff, termasuk dua dalam tahun ini, dan dia sekali lagi mudah menewaskan pemain Jerman dan pilihan ke-28 itu.

Struff bertahan sehingga game kelapan dalam set pertama sebelum Djokovic menamakan cabarannya untuk memenangi set pembukaan itu.

Mata break dalam set pembukaan set kedua meletakkan Djokovic melangkah lebih jauh dan sekali lagi memanfaatkan situasi ketika servis di tangan Struff untuk memenangi set berkenaan.

Berdepan sedikit cabaran pada awal set ketiga, Djokovic kemudian meraih satu lagi mata break untuk mendahului 3-1 dan tidak berpaling untuk meneruskan kemaraannya ke pusingan keempat.

Menanti Djokovic dalam pusingan 16 ialah Pablo Carreno Busta, pemain Sepanyol yang tewas ketiga-tiga pertemuan terakhir dengan pemain Serbia itu.