Victoria Azarenka menyertai Serena Williams dalam suku akhir Kejohanan Tenis Terbuka Amerika Syarikat (AS) apabila menewaskan Karolina Muchova di New York awal pagi tadi.

Bagaimanapun, juara dua kali Kejohanan Terbuka Australia itu dipaksa bekerja keras sebelum mengesahkan laluannya sebagai lapan pemain terbaik di Flushing Meadows.

Azarenka mara ke suku akhir Terbuka AS buat kali pertama sejak 2015 selepas menewaskan pilihan ke-20 daripada Republik Czech itu 5-7, 6-1, 6-4.

Muchova memaparkan penguasaan dalam set pertama sebelum Azarenka memaparkan aksi yang lebih tekal untuk menamatkan saingan selama dua setengah jam itu dengan kemenangan.

Pemain berbangsa Belarus itu, yang merupakan naib juara dua kali Terbuka AS, jelas terlalu hebat untuk ditumbangka Muchova, yang berdepan kecederaan kaki pada penghujung perlawanan pusingan 16 itu.

Selepas memenangi Kejohanan Terbuka Western & Southern bulan lalu, Azarenka mempamerkan aksi gemilangnya sejak saingan tenis dunia bersambung berikutan waktu rehat gara-gara pandemik COVID-19.

Sementara itu, Serena mengatasi cabaran getir Maria Sakkari untuk meraih kemenangan 6-3, 6-7, 6-3 dalam masa dua jam dan 28 minit.

Bintang AS itu seakan-akan hampir melalui satu lagi kekecewaan untuk menyamai rekod Margaret Court ketika ketinggalan di belakang Sakkari dalam Set ketiga.

Sakkari bangkit daripada ketinggalan satu set untuk menewaskan Williams dalam Terbuka Western & Southern tetapi kali ini, dia gagal mengekalkan pendahuluan dalam set ketiga itu untuk akur membenarkan Williams meneruskan pemburuan gelaran grand slamnya yang ke-23 dalam kejohanan berkenaan.