Rafael Nadal menyifatkan kekalahan mengejutnya kepada Alexander Zverev dalam suku akhir Kejohanan Tenis Terbuka Madrid sebagai amat sukar untuk difahami.

Juara lima kali itu menyerlah dalam set pertama suku akhir ke-15 dalam kariernya di Caja Magica sebelum tewas 4-6, 4-6 dalam tempok 1 jam dan 44 minit.

Ia kejayaan terbesar Zverev di atas gelanggang tanah liat untuknya mendaki ke tangga kedua ATP.

Sementara itu, Nadal di sebalik sangat senang dengan persembahannya di ibu kota Sepanyol itu, masih kebingungan untuk menjelaskan kekalahannya awal pagi tadi.

"Secara keseluruhannya, saya akan meninggalkan Madrid dengan perasaan positif tetapi pada masa yang sama, terkilan kerana memperagakan aksi seperti ini hari ini ketika berdepan seorang pemain yang hebat," katanya pada sidang media.

"Saya fikir dalam set pertama, saya beraksi lebih baik daripada dia. Dan ini adalah satu sisi negatif; sedangkan ketika beraksi lebih baik daripadanya dalam set pertama sekalipun, saya masih kalah 4-6.



"Ia sangat sukar untuk difahami terutama saya sendiri. Apabila ini terjadi kepada saya, ia biasanya berlaku sebaliknya. Saya mencari jalan untuk memenangi set walaupun tidak menampilkan terbaik atau sebaik lawan.

"Saya dapat rasakan telah beraksi lebih baik dalam kebanyakan set pertama tetapi selepas beberapa kesilapan- kesilapan yang tidak sepatutnya berlaku dalam detik terburuk -- saya mula ketinggalan satu set.

"Sejak itu pandangan perlawanan mula berubah, baik untuk saya mahupun dia. Saya sedar ketika itu banyak penderitaan menanti saya dalam set kedua dan dia pula mula mengorak langkah."

Zverev akan berdepan Dominic Thiem dalam separuh akhir selepas bintang Austria itu mengatasi John Isner 3-6, 6-3, 6-4 dalam 1 jam 55 minit.

Dalam satu lagi separuh akhir, Casper Ruud akan bertemu Matteo Berrettini.

Ruud dari Norway mengatasi cabaran Alexander Bublik 7-5, 6-1 untuk separuh akhir ketiga ATP Masters 1000 berturut-turut buatnya sementara Berrettini mengalahkan Cristian Garin 5-7, 6-3, 6-0.