Tenis Terbuka AS: Clijsters, Murray diberi peluang khas 

Oleh Shaiful Shamsudin 7 Ogos 2020 47
Tenis Terbuka AS: Clijsters, Murray diberi peluang khas 
Kim Clijsters dan Andy Murray kembali mewarnai Flushing Meadows apabila menerima tiket peluang khas untuk bersaing dalam Kejohanan Terbuka Amerika Syarikat (AS).

Bekas juara itu, yang kedua-duanya memenangi gelaran utama pertama menerusi Grand Slam New York, akan menyerikan kejohanan itu selepas beberapa nama besar memilih untuk menarik diri. 

Semalam, penganjur mengesahkan peluang khas itu bagi kejohanan berkenaan yang bermula pada 31 Ogos ini dan akan dilangsungkan di gelanggang tertutup.

Kejohanan itu akan berlangsung tanpa jaguh nombor satu dunia, Rafael Nadal  dan Ash Barty, selepas kedua-duanya memilih untuk tidak bertanding berikutan kebimbangan terhadap COVID-19.

Clijsters memenangi tiga gelaran Terbuka AS (edisi 2005, 2009 dan 2010) sebelum pada akhir tahun lalu, mengumumkan akan keluar daripada persaraanya selepas tujuh tahun tidak beraksi di peringkat antarabangsa, 

Dia sempat beraksi dalam dua perlawanan pertunjukan sebelum pandemik itu mendorong Jelajah WTA dihentikan yang menyaksikannya ditumpaskan Garbine Muguruza dan Johanna Konta.

Pemain berusia 37 tahun itu mengambil bahagian dalam Tenis Berpasukan Dunia bersama New York Empire ketika kempen musim ini ditangguhkan dan menghasilkan penampilan yang mengagumkan.

Clijsters pernah menjadi peserta peluang khas dan mencuri tumpuan apabila memenangi gelaran 2009, hanya selepas beberapa minggu kembali setelah berehat dua tahun kerana melahirkan anak. 

 

Murray, yang mencatat kejayaan cemerlang ketika menewaskan Novak Djokovic dalam final Terbuka AS 2012, sering dihantui masalah pinggul dalam beberapa musim terakhir ini yang menyebabkan kedudukannya tergelincir di luar tangga 100 teratas dunia. 

Pemain berusia 33 tahun itu kini menghuni tangga ke-129 dalam kedudukan ATP dan seperti Clijsters, dia terlebih dahulu akan beraksi dalam Terbuka East & West sebelum menghadapi acara grand slam. 

Kejohanan itu, yang kebiasaabnya diadakan di Cincinnati, telah dipindahkan ke Flushing Meadows. 

Tidak seperti biasa, Terbuka AS akan menjadi kejuaraan kedua terbesar tahun ini selepas Terbuka Wimbledon dibatalkan manakala Terbuka Perancis akan bermula pada 27 September depan. 
 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen