Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM) akan menggunakan Kejohanan Tenis Sirkit Kebangsaan 2020 sebagai medan pemilihan pemain untuk membarisi saingan Piala Davis dan Piala Fed pada tahun ini.

Itu antara inisiatif LTAM dalam membentuk skuad ampuh bagi menghadapi dua kejohanan itu yang menjadi keutamaan badan induk berkenaan musim ini.

Kejohanan itu juga melibatkan beberapa negara seperti Indonesia dan Vietnam dijangka mampu memberi pendedahan terbaik bagi aksi konsisten dan kompetitif buat skuad negara.

Presiden LTAM, Mirzan Mahathir, turut memberi jaminan bahawa persatuan itu akan berusaha untuk menggandakan penganjuran kejohanan di Pusat Tenis Nasional Tun Razak, Jalan Duta, dalam memastikan kemudahan di situ dimanfaatkan sepenuhnya.

"Kami berharap dapat meraih keputusan yang lebih baik berbanding tahun lalu.

"Kami berharap akan lolos ke peringkat kedua, ia juga amat bergantung kepada persiapan dan pemain," katanya.

Sementara itu, Ahli Jawatankuasa LTAM, Fazwil Abdul Wahid, menjelaskan terdapat program pembangunan akar umbi yang dijalankan badan induk itu ketika ini.

"Program kami merangkumi semua negeri dan kami berkerjasama dengan Kementerian Pendidikan malah bermula di peringkat tadika," katanya pula.