Dalam usaha untuk mentransformasikan skuad tenis kebangsaan, kepakaran berbentuk pengarah teknikal atau prestasi diperlukan.

Hakikat itu diakui sendiri ketua jurulatih negara, Muliyadi Jamal.

Kebiasaannya, seorang ketua jurulatih tempatan sukar untuk bekerja di bawah tenaga asing.

Tetapi, tidak buat Muliyadi dan barisan kejurulatihan negara yang memerlukan prespektif berbeza.

Bukan sahaja teknik latihan, malah elemen penganjuran kejohanan juga perlu diketengahkan bagi tujuan mendapatkan dana tambahan untuk memperkasakan program skuad kebangsaan.

"Keupayaan kami terhad.

"Kami memerlukan seseorang yang mempunyai pengalaman dalam jelajah lelaki (ATP) dan wanita (WTA) tetapi bukan setakat bertindak sebagai jurulatih semata-mata.

"Mungkin dia dapat membantu daripada segi penganjuran dengan melahirkan idea untuk mengkomersialkan tenis selain mendapatkan bantuan kewangan kepada persatuan dan pemain-pemain," katanya.

Dalam masa sama, Muliyadi turut mencadangkan agar Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM) memperincikan insentif buat pemain negara bagi memberikan suntikan semangat buat pemain negara yang mempamerkan prestasi baik dalam latihan dan kejohanan.

Pendekatan ini juga bagi mengelak pemain yang tidak berdisiplin selesa dengan kedudukan mereka sebagai pemain kebangsaan.

"Pemain-pemain yang dipilih menyertai pasukan kebangsaan perlu ada disiplin, komitmen dan menunjukkan peningkatan prestasi.

"Mereka tidak boleh ponteng latihan tanpa sebab yang kukuh," tambahnya.