Rafael Nadal terkandas dalam Kejohanan Tenis Masters Monte Carlo selepas Andrey Rublev melengkapkan kemenangan hebat 6-2, 4-6, 6-2 dalam pertembungan suku akhir, sebentar tadi.

Nadal melangkah ke pertemuan itu dengan rekod 73-5 tetapi lawannya dari Russia terbabit penuh bersemangat untuk mengejutkan seteru dari Sepanyol berkenaan.

Juara 11 kali itu kelihatan hampir melengkapkan kebangkitannya selepas menamatkan set kedua dalam tempoh 74 minit, namun Rublev tetap membara untuk mengesahkan kemenangan selepas 2 jam 33 minit berjuang di atas gelanggang.

"Saya tidak dapat membayangkan jika berada dalam situasi Rafa, dia adalah pemain terbaik di tanah liat dan setiap kali pasti berdepan tekanan," kata Rublev menurut laman sesawang Jelajah ATP.

"Saya rasa setiap kali pasti sangat sukarnya. Saya terkejut dengan rentak permainannya di bawah tekanan ini dan itulah sebabnya dia seorang legenda."

Rublev akan menentang Casper Ruud dalam separuh akhir esok selepas dia mengatasi juara bertahan, Fabio Fognini, 6-4, 6-3.




Dan Evans pula menyusuli kemenangan hebatnya ke atas Novak Djokovic semalam dengan kejayaan tipis ke atas David Goffin untuk mara ke separuh akhir acara Masters bertaraf 1000 itu buat julung kalinya.

Pemain nombor 33 dunia tersebut, yang menyertai kejohanan ini selepas tewas 10 kali dalam percubaan di tanah liat, mengatasi Goffin 5-7, 6-3, 6-4 dalam masa 2 jam 42 minit.

"Saya bangga tentang bagaimana saya bangkit hari ini terutama dengan apa yang berlaku dalam set pertama," katanya selepas perlawanan.

"Saya berasakan tahap tumpuan saya tidak hebat dan saya benar-benar gembira apabila ia mula berhasil. Aksi semalam tidak akan sepadan dengan persembahan buruk hari ini."

Evans akan menentang Stefanos Tsitsipas yang layak selepas pencabarnya, Alejandro Davidovich Fokina, tidak dapat melanjutkan set kedua akibat kecederaan.