Tenis Masters Kebangsaan: Christian sedia beri cabaran hebat 

Oleh Staff Writer 18 November 2018 39
Tenis Masters Kebangsaan: Christian sedia beri cabaran hebat 
Selepas empat bulan merantau dalam pelbagai aksi antarabangsa, bakat tenis muda negara, Christian Didier Chin, kembali ke tanah air untuk mencabar Kejohanan Tenis Masters Kebangsaan 2018.

Christian, yang masih berada dalam saingan remaja, bakal beraksi dalam acara perseorangan dan beregu lelaki.

Musim ini, dia turut membuat penampilan dalam pusingan utama kejohanan bertaraf grand slam, iaitu dalam Terbuka Australia dan mara ke pusingan kedua.

Kejohanan Masters Sirkit Kebangsaan merupakan saingan terakhir domestik bagi musim 2018 menghimpunkan lapan pemain terbaik daripada ranking tempatan.

"Seronok berpeluang kembali ke Malaysia untuk melihat perkembangan pemain tempatan. 

"Secara jujurnya, matlamat utama saya bukanlah untuk muncul sebagai pemain nombor satu Malaysia meskipun ia satu pencapaian yang hebat. 

"Sebaliknya, saya mahu membawa tenis Malaysia menembusi aksi antarabangsa selain membangunkan sukan ini di Malaysia. 

"Kami semua berganding bahu untuk mengangkat martabat sukan ini," katanya.

Bagaimanapun, Ahmed Deedat Abdul Razak merupakan pilihan utama kejohanan berdasarkan prestasinya dalam saingan kebangsaan musim ini.

Daripada enam penampilan siri sirkit kebangsaan, Deedat menang empat gelaran.

"Deedat bakal menjadi pemain tumpuan untuk ditumbangkan, lagipun ini merupakan kejohanan terakhir pada tahun ini.

"Oleh itu, semua pemain mahu memenanginya dan membuat persediaan rapi. 

"Sudah tentu Deedat pemain yang hebat, dia sudah merangkul empat daripada enam gelaran.

"Saya sedia memberikan saingan sengit kepadanya sekiranya kami bertembung," katanya lagi. 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen