Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM) berpeluang melahirkan kelompok pemain bintang apabila jurulatih legenda dari Amerika Syarikat, Nick Bollettieri, bersetuju untuk berkongsi program latihan "Train To Win" di Kuala Lumpur, bulan depan.

Bintang dunia seperti Andre Agassi, Serena Williams, Venus Williams dan Maria Sharapova pernah menuntut di Akademi Tenis Nick Bollettieri pada awal pembabitan mereka.

Dengan sentuhannya yang melahirkan nama-nama besar itu, Bollettieri dianggap sebagai jurulatih paling prolifik dunia pada 2014.

Justeru, ini peluang keemasan untuk pemain dan jurulatih negara mempelajari program latihan bagi meningkatkan reputasi tenis Malaysia.

"Sudah tentu semua jurulatih peribadi, persatuan dan MSN (Majlis Sukan Negara) bekerja keras untuk menambah baik (sukan tenis).

"Saya fikir inilah masanya untuk Bollettieri datang membantu kami naik ke satu tahap lebih tinggi bagi mencipta sesuatu untuk negara," kata Penganjur Program Train To Win, B. Selvam.

Prestasi tenis Malaysia tidak banyak meningkat sejak beberapa tahun lalu, dengan skuad negara hanya meraih satu pingat gangsa dalam Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos lalu, menerusi Jawairiah Noordin-S. Theviy dalam acara beregu wanita.

Lebih mengecewakan, tenis tidak tersenarai dalam program Sukan Komanwel dan Sukan Asia, tahun depan.

"Saya harap MSN boleh pertimbang untuk membantu kami sebab tenis perlu pergi ke luar negara bagi menyertai kejohanan.

"Kalau latihan, kami memerlukan jurulatih berkualiti. Kami harap MSN boleh tolong kami," kata pemain perseorangan negara, Ahmad Deedat Abdul Razak.

Terdahulu, Deedat menjuarai acara perseorangan Kejohanan Masters Tenis Malaysia selepas menewaskan Syed Agil Syed Naquib 6-2, 6-0 dalam perlawanan akhir di Kompleks Tenis Jalan Duta, hari ini.

Sementara itu, Hannah Yip mengungguli perseorangan wanita selepas mengatasi Thean Li Jian, juga menerusi straight set 6-1, 6-3.