Suresh Menon sedia menghadapi ranjau berliku untuk mengembalikan prestasi pemain negara apabila kontraknya sebagai ketua jurulatih dilanjutkan sehingga hujung tahun depan.

Sebelum ini, Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM) bersetuju kontrak jurulatih itu dilanjutkan sehingga tamat Sukan SEA Filipina baru-baru ini.

Walaupun tidak mencapai sebarang sasaran yang ditetapkan, barisan pemain negara berpuas hati dengan khidmatnya dan mahu kontraknya dilanjutkan untuk setahun lagi.

"Saya fikir anda tidak boleh menilai kejayaan berdasarkan pingat, anda perlu melihatnya melangkaui itu.

"Anda perlu melihat perkembangan pemain.

"Kami mempunyai pasukan muda dengan pemain berusia 19 tahun.

"Saya menilai kejayaan berdasarkan peningkatan prestasi.

"Selama ini, pemain negara tidak pernah mendapatkan mata ATP (Persatuan Tenis Profesional) tetapi sekarang tidak lagi begitu," katanya.

Menjelang musim 2020, Suresh akan merombak semula skuad wanita negara dan berharap dapat mencari pemain yang benar-benar komited.

Skuad lelaki pula akan dikekalkan.

"Amat jelas dalam kejohanan utama seperti Piala Davis dan Piala Fed, skuad wanita masih jauh ketinggalan.

"Jadi kami perlu memilih pemain yang komited dan mempunyai potensi untuk membina pasukan ini.

"Untuk skuad lelaki pula, mereka sudah memiliki asas yang baik, jadi kami perlu menghantar mereka menyertai lebih banyak kejohanan," tambahnya.