Maria Sharapova menegaskan bahawa akan tiada perlawanan perpisahan selepas dia mengumumkan persaraannya daripada sukan tenis dengan pemain berbangsa Russia itu turut menjelaskan kematian Kobe Bryant menjadi faktor penting dia mengundurkan diri.

Sharapova -- yang merupakan pemenang lima kali kejohanan grand slam -- mengesahkan persaraannya malam tadi selepas bergelut dengan kecederaan sepanjang beberapa tahun ini.

Dia juga berdepan penggantungan selama 15 bulan selepas didapati positif meldonium dalam Kejohanan Terbuka Australia pada 2016.

Pemain berusia 32 tahun itu, yang menamatkan kariernya di kedudukan ke-373 ranking WTA dan 36 gelaran perseorangan, memenangi kejohanan grand slam pertamanya pada usia 17 tahun dalam Kejohanan Wimbledon pada 2004.

Walaupun diiktiraf sebagai salah satu nama besar dalam sukan tenis, dia enggan memanjangkan tempohnya di atas gelanggang.

Ia bermakna, kekalahannya kepada Dona Vekic dalam Terbuka Australia, Januari lalu merupakan penampilan terakhirnya di pentas kompetitif.

"Saya tidak rasa saya perlu turun ke gelanggang supaya seluruh dunia dan peminat saya mengetahui bahawa ia merupakan kali terakhir saya di atas gelanggang," katanya dalam satu temu bual bersama New York Times.

"Ketika saya lebih muda, ia bukanlah penamat yang saya inginkan.

"Seperti yang anda dapat lihat sepanjang karier saya, ketabahan saya adalah kelebihan yang paling hebat, kekuatan yang paling hebat.

"Tetapi saya berasakan yang ia sudah mula menjadi kelemahan saya.

"Kerana kedegilan yang membuatkan saya meneruskannya telah membuatkan saya meneruskannya untuk sebab yang salah," katanya.
Sharapova membuat keputusan itu ketika dalam perjalanan dari Australia ke Los Angeles selepas tewas kepada Vekic.

Dia menambah kematian ikon bola keranjang, Bryant -- yang dikatakan sebagai sumber rujukan terbesar sepanjang kariernya -- pada 26 januari lalu, telah mendorongnya untuk membuat keputusan itu.

"Kami sepatutnya bertemu tiga hari daripada tarikh kemalangan itu.

"Saya fikir kita semua melihat perjalanan kita lebih besar daripada hidup kita disebabkan apa yang kita lakukan.

"Tetapi semua orang pada dasarnya amat rapuh.

"Dan jika ada apa-apa yang membuka mata anda mengenai apa yang lebih penting dalam hidup anda, ia adalah satu masa di mana saya memikirkan mengenai masa depan saya," tambahnya.

Sharapova mengakui sukar untuk menamatkan kariernya dengan hanya lima gelaran grand slam tetapi dia tidak menyesal dengan keputusan itu.

"Lihat, adakah saya lebih gembira dengan trofi grand slam keenam, ketujuh atau kelapan?

"Jumlah itu kelihatan lebih baik tetapi saya mungkin tidak dapat apa-apa dan saya sudah berada di satu kedudukan yang amat hebat," katanya lagi.