Bintang tenis Russia, Maria Sharapova, terlepas aksi dalam Terbuka Miami selepas mengalami kecederaan lengan.

Sejak kembali daripada penggantungan tahun lalu, Sharapova mengharungi kempen 2018 dengan longlai selepas tersingkir daripada Terbuka Australia dalam pusingan ketiga sebelum dikecewakan oleh Monica Niculescu dan Naomi Osaka bagi saingan Terbuka Qatar dan Kejohanan Masters Indian Wells.

Baru-baru ini, Sharapova telah mengumumkan bahawa Sven Groeneveld bukan lagi jurulatihnya dan walaupun memegang status selaku finalis di Miami sebanyak lima kali, dia tampak tidak mampu meneruskan usaha untuk meraih gelaran pertama di sana.

“Saya memohon maaf terpaksa menarik diri daripada kejohanan selepas mengalami kecederaan pada lengan kiri. Saya akan melakukan segala usaha untuk segera kembali beraksi,” kata Sharapova.

“Saya tahu betapa Sharapova ingin beraksi di Miami tahun ini dan dapat dibayangkan kekecewaannya.

“Kami menjangkakan dia beraksi pada Rabu tetapi kecederaan adalah sebahagian daripada permainan. Kami berharap dia dapat segera pulih,” ujar pengarah kejohanan, James Blake.

Sharapova, yang memenangi kejuaraan WTA pertamanya dalam masa dua tahun ketika Terbuka Tianjin, Oktober lalu, kini menduduki tangga ke-41 dunia dan tempatnya di Miami digantikan oleh Jennifer Brady.