Maria Sharapova berkata keputusan Mahkamah Timbangtara Sukan (CAS) untuk mengurangkan penggantungannya daripada dua tahun kepada 15 bulan telah memberikannya “salah satu hari paling menggembirakan”.

Jaguh Russia itu pada asalnya digantung sehingga Januari 2018, selepas diuji positif bagi bahan terlarang, meldonium, dalam Terbuka Australia tahun ini.

Bagaimanapun, Sharapova mendakwa tidak menyedari bahawa meldonium telah ditambah kepada senarai bahan terlarang Agensi Anti-Doping Dunia (WADA) pada permulaan tahun 2016 dan satu rayuannya kepada CAS, menyaksikan penggantungannya dipendekkan sembilan bulan.

Maka, Sharapova akan bebas untuk kembali ke gelanggang pada April 2017.

Dia berkata dalam satu kenyataan: “Saya telah mengharungi salah satu hari paling sukar dalam kerjaya saya Mac lalu apabila saya mendapat tahu mengenai penggantungan saya.

“Hari ini pula adalah salah satu yang paling menggembirakan kerana saya mendapati saya boleh kembali kepada tenis pada April.

“Dalam banyak cara, saya berasakan sesuatu yang saya sukai telah diragut daripada saya dan ia akan dirasakan benar-benar bagus untuk mendapatkannya semula.

“Tenis adalah keghairahan saya dan saya merinduinya. Saya sedang menghitung hari sehingga saya dapat kembali ke gelanggang.”