Andrey Rublev menjuarai Kejohanan Tenis Terbuka Vienna melalui kemenangan meyakinkan 6-4, 6-4 ke atas Lorenzo Sonego yang penuh kejutan, sekali gus menempah tiket ke ATP Finals di London.

Pemain Russia itu merakam kemenangan di Wiener Stadthalle dalam tempoh sejam 19 minit, awal pagi tadi, untuk menjulang gelaran ATP kelima musim ini.

Pemain bukan pilihan yang berada di tangga ke-42 dunia, Sonego, meneruskan kemaraannya ke final selepas mencipta kejutan ke atas juara nombor dunia dunia, Novak Djokovic, namun gagal menjelmakan prestasi terbaiknya ketika menentang Rublev yang mempamerkan sentuhan klinikal.

"Kejohanan ini sangat istimewa bagi saya kerana nenek saya juga orang Austria, jadi saya juga berdarah Austria," katanya dalam penyampaian trofi.

Sonego dari Itali itu buntu untuk mematahkan sebarang servis lawannya.

Situasi itu memastikan Rublev untuk mengakhiri kejohanan berkenaan tanpa melepaskan sebarang servis dalam 38 perlawanan -- muncul selaku pemain yang mencapai prestasi seumpamanya dalam kejohanan ATP sejak Alex de Minaur mengungguli 42 perlawanan di Atlanta pada 2019.


Lantas, Rublev mendaki puncak gelaran Jelajah ATP, satu di depan Djokovic dan akan membuat penampilan pertamanya dalam pusingan akhir di London, akhir bulan ini.

Dia menjadi pemain ketujuh yang layak ke kejohanan pada 15-22 November ini yang bakal menyaksikannya berentap dengan bintang handalan dunia seperti Djokovic, Rafael Nadal, Dominic Thiem, Stefanos Tsitsipas, Daniil Medvedev dan Alexander Zverev.