Rafael Nadal dan Roberto Bautista Agut menyempurnakan kemenangan Piala Davis keenam buat Sepanyol dengan menundukkan barisan pemain muda Kanada di La Caja Magica awal pagi tadi.

Bautista Agut menangis sejurus mengalahkan pemain berusia 19 tahun, Felix Auger-Aliassime, 7-6 (7-3), 6-3 yang diletakkan sebagai taruhan pertama, tiga hari selepas kematian bapanya.

Pemain berusia 31 tahun berkenaan mempamerkan watak yang luar biasa untuk beraksi dalam perlawanan akhir dan menawarkan aksi hebat di hadapan penyokong di Madrid.

Nadal kemudian turun dengan mempamerkan aksi bertenaga apabila mengalahkan pemain berusia 20 tahun, Denis Shapovalov, 6-3, 7-6 (9-7) untuk menjamin kemenangan Piala Davis yang pertama dalam tempoh lapan tahun buat tuan rumah setelah Kanada gagal memberikan tentangan dalam penampilan final sulung mereka.

Kemenangan Nadal di tanah airnya itu bermakna mereka tidak perlu lagi beraksi dalam perlawanan penentuan, iaitu acara beregu bagi menambahkan seri kejayaannya musim ini selepas memenangi dua gelaran Grand Slam -- koleksi kejayaan yang ke-19 buatnya.