Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM) akan membentuk skuad khas bagi menghadapi saingan Piala Davis 2019, September depan, dengan menyenaraikan semula bekas pemain senior seperti Ahmed Deedat Abdul Razak dan Syed Agil Syed Naguib.

Barisan pemain senior itu merupakan kelompok yang digugurkan daripada skuad kebangsaan selepas Sukan SEA 2017 di Kuala Lumpur.

Malaysia akan beraksi dalam klasifikasi Kumpulan 3, Zon Asia-Oceania di venue yang akan ditetapkan.

Misi dalam edisi 2019 adalah untuk menempah kelayakan ke Kumpulan 2 dalam edisi berikutnya.

Bagi memenuhi aspirasi itu, LTAM turut berunding dengan bekas pemain negara, Suresh Menon, untuk melatih skuad itu bermula bulan depan sehingga tamat kempen Piala Davis 2019.

Antara pemain yang turut berada dalam senarai pemilihan adalah Assri Merzuki dan Christian Didier Chin.

"Kami berharap penyenaraian pemain-pemain itu akan meningkatkan persaingan dalam kalangan pemain agar mereka dapat mengembangkan prestasi masing-masing.

"Kami sedang mempersiapkan struktur latihan baru dan sedang dalam perbincangan untuk mendapatkan Suresh.

"Dengan perancangan ini, kami berharap ia akan memberikan nafas baru buat skuad tenis kebangsaan," kata Setiausaha Kehormat LTAM, Rahizam Rahim.