Pengerusi ATP, Andrea Gaudenzi, berkata terdapat 50 pilihan untuk menyusun kalendar musim ini tetapi beliau mengakui sukan tenis mungkin menjadi sukan terakhir yang akan kembali diteruskan

Saingan Jelajah ATP dan WTA musim ini terpaksa ditunda sehingga 13 Julai depan gara-gara pandemik Covid-19.

Ketika Kejohanan Wimbledon sudah sah dibatalkan, Kejohanan Terbuka Perancis pula terpaksa dianjakkan ke September depan dengan keraguan sama ada ia dapat dilangsungkan pada tahun ini atau tidak.

Gaudenzi berkata sukan tenis mungkin perlu menunggu lebih lama berbanding sukan lain untuk kembali bersambung memandangkan ia memerlukan perjalanan ke serata dunia.

"Kami memiliki 3,000-4,000 orang yang akan tiba daripada serata dunia dan dengan itu, sukan tenis mungkin menjadi sukan terakhir kembali bersambung," katanya kepada Sky Sport.

"Kami memiliki 50 pilihan kalendar musim ini. Belum ada sebarang keputusan, Kami akan memberikan keputusan itu pada penghujung bulan depan.

"Terdapat tanggapan [seperti] bermain di tanah liat setelah Terbuka AS (Amerika Syarikat) jika semuanya berjalan lancar dan kemudian diteruskan dengan musim biasa - di Asia, dimainkan secara dalam dewan dan Final [ATP] di London pula berlangsung secara tertutup," katanya.

Terdapat lebih daripada 1.6 juta kes Covid-19 di seluruh dunia, dengan jumlah kematian telah melebihi angka 102,000.