Roger Federer berpeluang untuk mencipta sejarah baru dalam kariernya sejak kembali daripada masalah kecederaan apabila menerima tiket wildcard untuk menyertai Terbuka Rotterdam, sekali gus berpotensi untuk menggantikan tempat Rafael Nadal selaku pemain nombor satu dunia.

Federer, yang menjulang kejuaraan Grand Slam peribadi yang ke-20 dalam Terbuka Australia pada bulan lalu, mampu meletakkan dirinya di puncak kedudukan dunia buat kali pertama sejak Novermber 2012 sekiranya melayakkan diri ke separuh akhir di Belanda.

Bintang tenis Switzerland itu terlepas hampir keseluruhan musim 2016 disebabkan kecederaan belakang dan lutut, menyebabkannya jatuh ke tangga ke-17 dunia, namun memenangi tiga daripada lima kejohanan utama selepas itu.

"Kejohanan ini amat bermakna buat saya. Saya masih ingat beraksi di sini buat kali pertama pada tahun 1999 dan sudah tentu gembira untuk beraksi dalam kejohanan edisi ke-45 ini," kata Federer.

"Selepas pencapaian hebat dalam Terbuka Australia, pastinya ia sesuatu yang hebat apabila Federer dapat menyertai kami di Rotterdam. Ia seperti hadiah untuk meraikan sejarah kejohanan kami.

"Sejak setahun lalu, Federer mempamerkan prestasi luar biasa dan terbukti mahu meneruskan keadaan terbaiknya itu," ujar pengarah kejohanan, Richard Krajicek.

Federer memenangi Terbuka Rotterdam pada tahun 2005 dan 2012 serta bakal menggantikan tempat Andre Agassi selaku pemain lelaki paling tua melayakkan diri ke final sekiranya dia mampu melakukannya.