Nadal: Kitaran hidup "kejam" bawa perubahan dalam tenis

Oleh Penulis Jemputan 26 Disember 2019 439
Nadal: Kitaran hidup
Rafael Nadal berkata bintang meningkat naik seperti Daniil Medvedev dan Stefanos Tsitsipas mampu berusaha untuk bergelar juara grand slam sambil pemain-pemain veteran kini berdepan realiti yang "kejam" bahawa masa mereka semakin menghampiri penamat.

Nadal mengakui ia sesuatu yang tidak dapat dielakkan kerjaya tenisnya semakin tiba ke penghujung dan ia juga sama buat Roger Federer dan Novak Djokovic.

Antara mereka, Nadal, Federer dan Djokovic telah mengumpul 55 gelaran grand slam, dengan ketiga-tiganya telah berjaya memintas 14 gelaran yang dimenangi oleh legenda terdahulu, Pete Sampras -- rekod yang dijangka mampu bertahan lebih daripada sedekad.

Federer kini berusia 38 tahun, Nadal pula 34 sementara Djokovic 33 tahun. Ia bukanlah sesuatu yang menghairankan apabila ketiga-tiga pesaing ini merupakan pilihan dalam setiap kejohanan selepas mendominasi saingan tenis lelaki lebih daripada sedekad.

Janggal jika aksi final Terbuka Australia tahun depan tidak menyaksikan salah seorang daripada tiga pemain itu beraksi kerana mereka telah mendominasi saingan berkenaan sejak 2006.

Namun, kejayaan Tsitsipas memenangi ATP Akhir bulan lalu merupakan kemenenangan terbesar bagi pemain berusia 21 tahun itu sementara Medvedev mengharungi tahun 2019 yang cemerlang, terutama beraksi di gelanggang permukaan keras dan Nadal terpaksa berhempas-pulas untuk menafikan wakil Russia itu sebelum menjuarai Terbuka Amerika Syarikat.

Ditanya mengenai pemain-pemain 'NextGen', Nadal memberitahu AS: "Ia adalah satu kebiasaan mengenai perbincangan membabitkan mereka kerana semakin kami meningkat usia, mereka semakin menjadi lebih berkualiti.

"Mereka meningkat naik setiap tahun. Saya berasakan mereka mampu memenangi gelaran-gelaran utama, seperti apa yang dilakukan Medvedev, Tsitsipas dan Dominic Thiem tahun ini.

"Pemain-pemain muda ini mampu memberikan impak pada masa akan datang. Kami masih lagi bersaing tetapi kitaran hidup adalah sesuatu yang kejam dan apabila tiba masanya, segalanya akan berubah -- lambat atau cepat sahaja."

Nadal terkejut kerana masih lagi berada di tahap terbaik apabila menamatkan musim selaku pemain nombor satu dunia buat kali kelima.

"Sejujurnya, saya tidak menyangka dapat bermain tenis lagi pada usia ini," katanya lagi.

"Saya telah diberitahu kerana stail permainan saya, saya tidak akan memiliki karier yang panjang. Saya percaya apa yang diberitahu, jadi saya sepatutnya sudah bersara dan mula membina keluarga."

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen