Nadal, Federer sumbang RM2.8j tangani kebakaran di Australia 

Oleh Staff Writer 16 Januari 2020 154
Nadal, Federer sumbang RM2.8j tangani kebakaran di Australia 
Rafael Nadal dan Roger Federer sepakat untuk berkongsi menyumbangkan AUD250,000 (RM2.8 juta) kepada dana bantuan kebakaran hutan belukar Australia. 

Pemain nombor satu dunia, Nadal, mengumumkan keputusan itu ketika mengambil bahagian dalam acara Rally4Relief semalam yang memaparkan pemain bertaraf bintang, termasuk Novak Djokovic dan Serena Williams.

"Selepas bercakap dengan Roger, kami memutuskan untuk menyumbangkan AUD250,000 kepada dana kebakaran itu," katanya.

"Mudah-mudahan ia akan memberi inspirasi kepada masyarakat untuk menghulurkan bantuan bagi menangani bencana dahsyat yang sedang kita lalui ini serta dapat membantu untuk memulihkan semua perkara yang diperlukan."

Pemain-pemain telah mengumumkan pelbagai cara untuk menghulurkan bantuan bagi mengatasi kebakaran hutan itu sejak Nick Kyrgios mengisytiharkan dia akan membayar $200 (RM813.7) bagi setiap 'ace' yang dilakukannya ketika menghadapi kejohanan musim panas di Australia selain turut menuntut Tenis Australia supaya menganjurkan acara itu. 

Nadal, Federer dan pemain-pemain lain beraksi dalam beberapa perlawanan dan cabaran itu sambil memakai mikrofon dalam usaha menghiburkan penonton di Melbourne.

Stefanos Tsitsipas, Alexander Zverev, Dominic Thiem, Naomi Osaka, Caroline Wozniacki, Coco Gauff dan Petra Kvitova kesemua turut mengambil bahagian.

Williams menyumbangkan kesemua hadiah kemenangannya dalam Terbuka Auckland, termasuk setiap pakaian yang dipakainya dalam saingan di New Zealand minggu lalu itu manakala Djokovic juga memberikan sumbangan.

Rally4Relief diadakan selepas penganjur Terbuka Australia menangguhkan perlawanan peringkat kelayakan selama dua jam berikutan kualiti udara yang sangat teruk. 

Kebakaran hutan belukar di seluruh Australia mengakibatkan sekurang-kurangnya 28 orang mati sementara 10 juta hektar tanah dianggarkan telah terbakar sejak 1 Julai lalu.

Rally4Relief telah membantu menjana dana itu yang kini mencecah $5j (RM20.3j). 

Federer berkata: "Ia satu jumlah yang luar biasa, ia sangat diperlukan, saya berharap ia berterusan. Terbuka Australia semakin hampir dan saya berharap lebih banyak wang akan disalurkan. 

"Negara ini bersatu-padu demi orang lain dan ia mencetuskan inspirasi sebenar kepada negara-negara lain di seluruh dunia ini yang sedang menontonnya sekarang."




Editor: Shaiful Shamsudin 
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen