Rafael Nadal enggan mengesahkan pembabitannya dalam baki musim 2016 selepas dia tersingkir daripada Kejohanan Shanghai Masters kepada Viktor Troicki.

Bekas pemain nombor satu itu mempamerkan aksi buruk ketika berdepan pemain Serbia itu yang mencipta kemenangan sulung 6-3 7-6 (7-3) ke atas Nadal.

Meskipun secara rasminya masih belum layak untuk siri Jelajah Dunia ATP Akhir, Nadal dijangka akan mendapat tempat dalam pertandingan yang akan berlangsung di London itu nanti.

Nadal, bagaimanapun, meragui keupayaannya untuk beraksi di 02 Arena nanti kerana dia masih bergelut dengan masalah pergelangan tangan yang menjejaskan penampilannya di Terbuka Perancis dan Wimbledon.

Nadal berkata:" Saya tidak tahu apa yang akan berlangsung untuk beberapa minggu akan datang. Ia sesuatu yang perlu saya fikirkan.

"Saya perlu berbincang dengan pasukan saya. Saya perlu bercakap dengan pak cik saya (merangkap jurulatih, Toni) dan bersedia untuk baki musim ini untuk cuba melakukan apa yang sepatutnya saya lakukan kerana ada kalanya bertanding bukanlah jalan terbaik.

"Ada kalanya jalan terbaik adalah dengan berlatih, berhenti dan melalui proses dalam latihan. Mungkin ia peluang saya untuk melakukannya. Saya tidak pasti.

"Saya sedar apa yang perlu dan akan saya lakukan. Saya mempunyai tempoh selama dua setengah bulan sebelum musim depan bermula dan mencapai tahap yang saya perlukan, dan saya memiliki keyakinan untuk melakukannya.

"Bagi saya, musim ini hampir berakhir dan saya menerima hakikat itu. Saya hanya menumpukan kepada apa yang saya perlukan untuk bersedia 100 peratus untuk menghadapi musim depan.

"Itulah motivasi dan matlamat saya. Saya akan melakukan segala-galanya untuk memastikan ia menjadi kenyataan."