Rafael Nadal mewakili bintang-bintang Jelajah Persatuan Tenis Profesional (ATP) dalam memberikan penghormatan buat legenda bola keranjang Los Angeles Lakers, Kobe Bryant.

Bryant, 41, dan anak perempuannya yang berusia 13 tahun, Gianna, terbunuh dalam satu nahas helikopter di Calabasas, California, seperti yang disahkan Pesuruhjaya NBA, Adam Silver.

Juara lima kali NBA itu mula mencipta nama pada 1996 sebelum menghabiskan tempoh selama 20 tahun bersama Lakers, di mana dia memenangi dua gelaran Pemain Paling Bernilai (MVP) perlawanan akhir di samping kejayaan sama bagi musim 2008.

Ketika dunia sukan meratapi pemergiannya, juara kejohanan grand slam 19 kali dan pemain tenis nombor satu dunia, Nadal, menerbitkan satu ciapan Twitter: "Saya bangun pagi ini dan mengetahui satu berita buruk mengenai kematian ngeri salah seorang ahli sukan terhebat di dunia.

"Kobe Bryant, anak perempuannya, Gianna, dan penumpang lain.

"Saya merakamkan ucapan takziah buat isteri dan keluarganya.

"Saya amat terkejut," katanya.

Rod Laver -- salah seorang legenda tenis dunia dengan 11 kejuaraan utama -- pula berkata: "Amat sedih untuk bangun pagi dan mengetahui tentang berita hari ini.

"Semoga tenang di sana Kobe Bryant. Terlalu muda.

"Saya menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga dan rakan-rakan legenda sukan dunia itu," katanya.

Juara bertahan Terbuka Australia, Novak Djokovic, baru sahaja mendedahkan impak yang diberikan Bryant -- yang menghadiri Terbuka Amerika Syarikat tahun lalu -- kepadanya minggu lalu.

Sebelum kemenangannya ke atas Diego Schwartzman dalam pusingan keempat di Melbourne Park, juara 16 kali kejohanan grand slam itu mendedahkan apa yang dilakukan Bryant ketika dia mengalami waktu sukar pada 2018, yang menyaksikan bintang tenis Serbia itu tekeluar daripada kelompok 20 terbaik dunia kerana kecederan siku.

"Kobe merupakan salah seorang mentor saya," katanya kepada ESPN.

"Saya melakukan beberapa perbualan telefon dengannya dan kami ada bersua muka dalam beberapa tahun lalu.

"Ketika saya sedang mengalami kecederaan siku dan bergelut secara mental dan emosi untuk menguruskan beberapa perkara yang menimpa saya dan mengalami penurunan ranking dan kemudian perlu berusaha untuk menanganinya, dia merupakan antara beberapa orang yang betul-betul ada bersama saya bagi memberikan nasihat dan panduan berharga untuk mempercayai diri, untuk mempercayai proses kebangkitan saya.

"Saya amat berterima kasih kepadanya kerana sentiasa ada bersama saya, kerana sangat menyokong.

"Saya suka Kobe, siapa yang tidak?

"Dia seorang lelaki yang hebat dan salah seorang pemain bola keranjang dan atlet terbaik sepanjang zaman," katanya.



Editor: Muzaffar Musa