Mustahil dibandingkan dengan Ronaldo, Messi -- Nadal

Oleh Staff Writer 25 Disember 2019 43
Mustahil dibandingkan dengan Ronaldo, Messi -- Nadal
Rafael Nadal berkata mustahil untuk membandingkan persaingannya bersama Roger Federer dengan dua pemain bola sepak terbaik dunia, Cristiano Ronaldo dan Lionel Messi.

Persamaan yang boleh disaksikan adalah Federer dan Messi memiliki bakat yang luar biasa manakala Nadal dan Ronaldo individu yang berusaha keras bagi mencapai kejayaan.

Rakan sepasukan Ronaldo dan penjaga gol Juventus, Gianluigi Buffon, mengetengahkan teori itu Oktober lalu dan berkata "perbandingannya jelas dan membuatkan saya tersenyum".

Persaingan bola sepak tidak pernah lebih besar ketika Ronaldo di Real Madrid dan meletakkan diri dan kelabnya sebagai pesaing terus kepada Messi di Barcelona.

Messi baru-baru ini mengatasi Ronaldo dalam perebutan anugerah Ballon d'Or apabila meraihnya buat kali keenam, menjadikan dirinya pemain terbaik tahun ini.

Tetapi Nadal, yang menjuarai Terbuka Perancis dan Amerika Syarikat kini mengumpul 19 gelaran grand slam dan ketinggalan satu di belakang pendahulu sepanjang zaman, Federer, menolak idea itu dan berpendapat perbandingan tidak boleh dilakukan di antara dua sukan berbeza.

Bercakap kepada Marca.com, Nadal berkata: "Tiada perbandingan yang boleh dilakukan. Tenis dan bola sepak merupakan dua sukan berbeza dan perwatakan Messi tidak sama dengan Federer dan saya tidak memiliki persamaan dengan Ronaldo."

Nadal berkemungkinan mengatasi Federer tahun depan, dengan Novak Djokovic, yang kini di tempat ketiga dengan 16 gelaran, turut berada dalam persaingan berkenaan.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen