Bintang tenis Britain, Andy Murray, memastikan akan mengakhiri kempen 2016 selaku pemain nombor satu dunia selepas menewaskan lawan dari Serbia, Novak Djokovic, 6-3, 6-4, sekali gus merangkul kejuaraan sulung Final Jelajah ATP Dunia, awal pagi tadi.

Kejayaan di Arena O2 London itu menyaksikan Murray, 29 tahun -- yang merampas kedudukan Djokovic selama 122 minggu sebagai pemain nombor satu dunia, dua minggu lalu -- menjadi pemain ke-17 yang berjaya menamatkan kempen tahunan sebagai pemain nombor satu dunia sejak pengenalan sistem ranking ATP pada 1973.

Murray kini mengikut jejak langkah Djokovic, Roger Federer dan Rafael Nadal untuk memenangi gelaran terakhir buat musim 2016.

"Saya gembira kerana menang dan menjadi pemain nombor satu dunia adalah amat istimewa," jelas Murray.

"Ia sesuatu yang tidak pernah saya jangkakan. Kami bermain dalam final Grand Slam sebelum ini, namun menentang Novak dalam perlawanan seperti ini amat istimewa."

Sementara itu, Djokovic berkata: "Saya bermain lebih baik pada penghujung perlawanan, namun ia tidak mencukupi.

"Andy jelas pemain nombor satu dunia. Dia layak untuk memenanginya. Dia adalah pemain terbaik."

Kemenangan menyaksikan Murray membawa pulang hadiah kemenangan lumayan STG914,000 (RM4.97 juta).

Tahun 2016 boleh dianggap cemerlang buat Murray sekalipun tewas dua pertembungan final Grand Slam kepada Djokovic di Australia dan Perancis tetapi dia berjaya memenangi gelaran kedua di Wimbledon selain pingat emas dalam Sukan Olimpik.

Ia juga adalah gelaran kelima dimenangi secara berturut-turut oleh pemain kelahiran Scotland itu, sekali gus menambah jumlah kemenangan sepanjang kariernya kepada 44 dengan kecederaan Federer dan Nadal memberikan keyakinan 2017 juga mampu menjadi musim yang baik untuknya.