Murray: Kedudukan teratas tidak ubah saya

Oleh Sacha Pisani 15 November 2016 4
Murray: Kedudukan teratas tidak ubah saya
Andy Murray berkata dia tidak pernah berubah sejak menjadi pemain nombor satu dunia selepas perlawanan pertamanya sebagai pemain teratas ATP.

Murray bermula dengan kemenangan dalam perlawanan pertamanya sejak menurunkan Novak Djokovic ke tangga kedua, menewaskan Marin Cilic 6-3, 6-2 dalam saingan pembukaan Kumpulan John McEnroe dalam Final Jelajah Dunia ATP di Arena O2, London, awal pagi tadi.

Pemain Inggeris itu meraih empat mata untuk menamatkan cabaran pemain Croatia berkenaan, melanjutkan rekod tanpa kalahnya kepada 21 perlawanan.   

Bercakap kepada pemberita selepas itu, juara tiga kali Grand Slam, Murray, menegaskan mentalitinya tetap sama walaupun berada di kedudukan teratas senarai pemain lelaki.

"Saya tidak fikir mengenainya (menjadi pemain nombor satu dunia) terlalu banyak. Ia tidak banyak mengubah saya," kata Murray.

"Saya tidak lagi berasa gementar seperti biasa. Keadaan agak berbeza di sana daripada apa yang kami latih dalam minggu ini. Ia lebih perlahan daripada sebelum ini.

"Jelas sekali, bermain dalam orang ramai yang penuh sesak, ia sedikit berbeza. Saya rasa mungkin beberapa kesilapan pada permulaan akan menjadi pengajaran dalam kejohanan baru akan datang."

Lawan seterusnya untuk Murray adalah pilihan kelima kejohanan, Kei Nishikori, awal pagi nanti, selepas bintang Jepun itu menewaskan Stan Wawrinka 6-2, 6-3.

"Saya tidak menyaksikan perlawanan itu, tetapi jelas Nishikori mesti telah bermain dengan baik," kata Murray. "Saya boleh katakan ini mungkin tahun terbaiknya dalam jelajah ini. Dia salah seorang pemain terbaik di dunia. Dia telah bermain dengan baik dalam beberapa bulan ini, terutamanya."

Kekalahan kepada Murray membuatkan Cilic -- yang akan menentang Wawrinka -- dengan rekod 0-4 di Arena O2 sejak kali pertama melayakkan diri ke Final Jelajah Dunia pada 2014.

"Jelas sekali, saya perlukan rentak servis," kata Cilic. "Saya rasa saya tidak memukul dengan baik hari ini. Saya rasa, jelas Andy membalas pukulan dengan sangat baik.

"Saya perlu membuat persiapan sedikit lebih baik (menentang Wawrinka) daripada hari ini. Mudah-mudahan saya boleh bermula lebih baik dalam perlawanan itu."

Tentang Penulis

Sacha Pisani

Komen