Murray kecewa tidak dapat sertai Terbuka Australia selepas positif COVID-19

Oleh Muzaffar Musa 23 Januari 2021 57
Murray kecewa tidak dapat sertai Terbuka Australia selepas positif COVID-19
Andy Murray tidak dapat beraksi dalam Kejohanan Tenis Terbuka Australia selepas lebih seminggu disahkan positif koronavirus.

Murray, yang merupakan finalis sebanyak lima kali di Melbourne, sedang menjalani pengasingan kendiri di kediamannya selepas diuji positif COVID-19 pada 14 Januari lalu.

Pemenang tiga kali kejuaraan utama itu, yang kini berada di rangking ke-123 dunia, berharap dapat bersaing dalam kejohanan grand slam pembuka musim berkenaan pada 8 Februari depan selepas mendapat tiket peluang khas.

Bagaimanapun, pihak penganjur kejohanan itu memberikan isyarat bahawa amat sukar untuk Murray berada dalam jadual perlawanan mereka memandangkan dia tidak dapat berlepas ke negara itu menerusi salah satu penerbangan rasmi mereka selain perlu menjalani tempoh kuarantin yang ditetapkan.

Semalam, pemain berusia 33 tahun itu mengesahkan bahawa dia tidak dapat menemui penyelesaian dengan pihak berkuasa negara itu.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan The Guardian dan media United Kingdom (UK), Murray berkata: "Agak terkilan untuk mengumumkan bahawa saya tidak akan ke Australia bagi bersaing dalam Terbuka Australia.

"Kami telah berdialog dengan Tennis Australia dan mencuba untuk mendapatkan penyelesaian tetapi tidak berjaya.

"Saya mahu berterima kasih kepada semua yang berada di sana atas usaha mereka. Saya kecewa kerana tidak dapat bermain di Australia. Ia negara dan kejohanan yang amat saya gemari," katanya.
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen