Andy Murray dalam landasan tepat merampas status pemain no. 1 dunia dari Novak Djokovic apabila menewaskan Roberto Bautista Agut dalam final untuk menjuarai Masters Shanghai.

Ia merupakan kejuaraan keenam diraih pemain Britain itu tahun ini dan turut muncul selaku pemain kedua selepas Djokovic untuk memenangi kejohanan itu untuk kali ketiga berturut-turut.

Meletakkan status pemain no. 1 dunia sebagai misi utama, Murray mengulangi kecemeralangan di Terbuka China minggu lalu untuk mempamerkan dominasi di Shanghai.

Ini merupakan trofi Masters ke-13 dalam kariernya dan kedua tahun ini selepas menjuarai Masters Rome.

Bagaimanapun, Murray dipaksa bekerja keras berdepan Agut tatkala pemain Sepanyol itu berjaya mengetepikan cabaran Djokovic di peringkat separuh akhir.

Namun, memasuki set kedua, Murray mula pamer prestasi sebenar dan sering kali mematahkan pukulan Agut meskipun berada di posisi sukar.

Walaupun Agut cuba bangkit dalam set ketiga, namun pemain no. 2 dunia itu tidak berdepan masalah, sebaliknya memaksa Agut membuat kesilapan untuk muncul juara.

Djokovic kini mendahului senarai ranking terbaik dunia dengan pungutan 13,540 mata, diikuti Murray dengan 9,845 mata.

Pemain Britain itu dijangka berupaya muncul pemain no. 1 dunia yang baru sekiranya mampu mengungguli baki empat kejohanan -- Terbuka Basel, Terbuka Vienna, Masters Paris dan Final Jelajah Dunia ATP -- sebelum kalendar 2016 melabuhkan tirainya.