Garbine Muguruza melaungkan amaran bahawa dia sememangnya "berjuang untuk merebut kejuaraan" dalam Jelajah WTA sebaik menyingkirkan juara bertahan, Aryna Sabalenka, dalam Terbuka Qatar.

Muguruza menang dalam pertarungan berkualiti tinggi itu apabila juara dua grand slam merangkap pemain nombor 16 dunia berkenaan menang 6-2, 6-7 (7-5), 6-3 selepas dua jam, 18 minit aksi di gelanggang.

Sabalenka memenangi satu-satunya pertemuan mereka sebelum ini tetapi hasrat pilihan ketiga itu untuk mengekalkan kejuaraannya gagal dijelmakan apabila hanya menyempurnakan empat break-point daripada 13 peluang yang diciptakannya.




Laluan Muguruza ke pusingan seterusnya semakin terbentang apabila memenangi empat game terakhir bagi mengatur pertemuan dengan Maria Sakkari yang mengalahkan Madison Keys dengan set straight.

"Saya sangat teruja apabila dapat bertemu pemain handalan," katanya kepada laman sesawang WTA Tour dalam sidang media selepas perlawanan.

"Seperti yang lain, saya bekerja keras. Saya berjuang untuk memenangi piala, berusaha beraksi dengan baik dalam kejohanan besar dan juga pertandingan yang bagus.

"Hari ini saya berdepan seorang pemain handalan, saya tahu saya harus turun dengan semangat juang membara dan kuat meraih kemenangan ke atas lawan yang sukar."

Walaupun pemenang 2020 itu tersingkir, bekas juara, Victoria Azarenka dan Petra Kvitova, masing-masing lolos ke pusingan ketiga dengan kemenangan straight-set.