Medvedev hempas raket kerana kerap tersingkir awal 

Oleh Shaiful Shamsudin 16 Oktober 2020 151
Medvedev hempas raket kerana kerap tersingkir awal 
Daniil Medvedev menempah kekalahan keempat dalam lima perlawanan ketika tersingkir kepada Reilly Opelka di tanah airnya dalam Kejohanan Tenis Terbuka St Petersburg, awal pagi tadi. 

Pemain pilihan utama itu mengakhiri rentak suramnya menerusi kemenangan ke atas Richard Gasquet dalam pusingan pertama dan dijangka mara sebaik dia memenangi set pertama ketika berdepan Opelka.

 



Tetapi pemain Amerika Syarikat (AS) tinggi lampai itu memadam kepincangan awalnya untuk menang 2-6, 7-5, 6-4 yang menyaksikannya mempertahankan empat mata break yang dimiliki Medvedev dalam set ketiga.

Pemain nombor enam dunia itu mara ke separuh akhir Terbuka AS sebelum menempuhi renteten keputusan mengecewakan, sekali gus memberi kemenangan terbesar dalam karier Opelka.

"Menentang salah seorang pemain terbaik dunia secara amnya apatah lagi dia beraksi di tempat sendiri sememangnya akan menjadi satu perlawanan yang sukar," kata Opelka. 

"Ini adalah kemenangan yang amat besar ertinya bagi saya.

"Saya beraksi buruk dalam set pertama. Saya hampir tidak memungut sebarang mata menerusi servisnya tetapi sebahagiannya bergantung kepada usahanya sendiri. Daniil merupakan mimpi ngeri buat lawan."

Sebaik tamat perlawanan, Medvedev menghempaskan raketnya ke gelanggang bagi melepaskan kekecewaannya. 

Tuan rumah, bagaimanapun, masih mampu mengibarkan cabaran menerusi Andrey Rublev dan Karen Khachanov.

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen