Novak Djokovic membuktikan kesungguhannya untuk menawan Kejohanan Tenis Masters Paris apabila melangkah ke separuh akhir dengan menewaskan Stefanos Tsitsipas 6-1, 6-2 awal pagi tadi.

Djokovic akan kehilangan mahkotanya sebagai pemain nombor satu dunia kepada Rafael Nadal minggu depan, namun dia memaparkan aksi kukuh untuk menjinakkan Tsitsipas.

Selepas diaibkan pemain di ranking ketujuh dunia itu dalam kejohanan di Shanghai bulan lalu, Djokovic melunaskan dendamnya dengan meraih kemenangan mudah.

Djokovic beraksi dalam cuaca yang tidak menentu ketika menewaskan Kyle Edmund dalam perlawanan sebelumnya, namun tiada sebarang keraguan terhadap kecergasannya apabila mata break berganda yang diraih meletakannya di kedudukan selesa dengan pendahuluan 4-0 pada 18 minit pertama set pembukaan.

Tsitsipas menyelamatkan tiga mata akhir ketika servis di tangannya, namun ia sekadar terhenti setakat itu apabila Djokovic menamatkan set berkenaan pada percubaan kelima.

Dengan kemaraan ke separuh akhir buat kali keenam semakin menghampirinya, juara empat kali kejohanan itu, Djokovic, tidak melepaskan sebarang peluang dengan meraih mata break berturut-turut untuk mengemudi set kedua dengan kelebihan 4-1.

Lawan dari Greece itu, bagaimanapun, sekali lagi meraih mata ketika memegang servis sebelum Djokovic menamatkan saingan dengan pukulan drop yang memaksa Tsitsipas melakukan pukulan balas yang terkeluar.

Menanti pilihan utama kejohanan itu dalam pusingan berikutnya ialah Gregor Dimitrov, yang menewaskan Cristian Garin dalam satu lagi perlawanan suku akhir.