Persatuan Lawn Tenis Malaysia (LTAM) menyasarkan sekurang-kurangnya menganjurkan enam kejohanan Futures bagi musim 2018.

Tahun ini menyaksikan LTAM berjaya menjalankan tiga kejohanan Futures yang bertempat satu di Kuching dan dua lagi di Kuala Lumpur.

Setiausaha Kehormat LTAM, Rahizam Rahim, menjelaskan penganjuran lebih banyak kejohanan Futures di laman sendiri akan turut membantu peningkatan pemain negara.

“Kami berharap agar dapat terus menambah jumlah penganjuran kejohanan.

“Apabila kami ingin menghantar pemain menyertai kejohanan di luar, ia akan melibatkan perbelanjaan kira-kira RM20,000 dan ia juga agak sukar kerana untuk melibatkan diri dalam Futures, ia memerlukan kedudukan yang baik dalam carta pemain. Jika tidak mencapai kedudukan yang diperlukan, kemungkinan pemain tidak boleh bertanding.

“Sebab itu, kami berasakan perlu untuk membawa Futures ke Malaysia,” kata Rahizam.

Dalam masa sama, fokus utama LTAM untuk tahun 2018 adalah saingan Piala Davis dengan sasaran memastikan skuad negara naik semula ke kumpulan dua.

LTAM turut mempunyai perancangan untuk menghantar skuad negara menjalani latihan di Thailand atau Indonesia sebelum saingan Piala Davis bermula pada Mac depan.

“Selepas Sukan SEA dan Futures, kemungkinan tahap keyakinan pemain juga sudah meningkat, begitu juga dengan prestasi permainan.

“Diharapkan tahun depan kami dapat mencapai satu tahap lebih tinggi,” tambahnya.