Bintang tenis berdarah kacukan Australia-Malaysia, Nick Kyrgios, telah digantung selama lapan minggu dan didenda sebanyak GBP20,560 (RM105,573) oleh Persatuan Pemain Tenis Profesional (ATP) susulan masalah disiplin ketika di kejohanan Masters Shanghai minggu lalu.

Pemain berusia 21 tahun itu sering kali membuat servis lemah sehingga beberapa kali terkena jaring ketika tewas 6-3, 6-1 berdepan Mischa Zverev.

Kyrgios turut menampilkan aksi malas sehinggakan berjalan ke kerusi meskipun giliran Zverez untuk membuat servis.

Pemain berada di ranking 14 dunia itu, bagaimanapun, memohon maaf ke atas insiden itu dan berkata dia akan menggunakan masa rehat yang ada untuk memperbaiki aksinya di atas dan di luar gelanggang.

"Saya menyesal tahun 2016 saya akan berakhir dengan begini, bagaimanapun saya menghormati keputusan dibuat ATP.

"Saya menempuh musim yang sukar apabila mengutip kecederaan dan cuba bangkit sekembali pulih.

"Namun, fizikal dan mental saya seakan-akan putus asa ketika di Shanghai.

"Ini bukan alasan dan saya sedar bahawa saya perlu memohon maaf kepada peminat saya."

Ketika aksi berdepan Zverev, Kyrgios turut terlibat bertikam lidah dengan penonton dan telah dikenakan denda GBP15,546 (RM79,778) susulan mengeluarkan kata-kata kesat.

Pemain no. 2 dunia, Andy Murray, berasakan hukuman denda bukanlah jalan penyelesaian yang terbaik.

"Pemain perlu mendapat perlindungan. Kadang-kala ketika sesi sidang media, dia juga mengakui menyesal dengan tindakannya.

"Dalam situasi sebegitu, dia hanya memerlukan panduan."

Pemain no. 1 dunia, Novak Djokovic, turut berpendapat Kyrgios antara pemain muda tenis terbaik masa kini.