Petra Kvitova telah menjalani pembedahan pada Selasa selepas mengalami kecederaan serius di bahagian tangan apabila diserang penceroboh yang menggunakan pisau di dalam kediamannya.

Juara Wimbledon dua kali itu berkata dia ketakutan tetapi bernasib baik kerana masih hidup selepas insiden yang berlaku di Prostejov.

Kvitova mengalami kecederaan di bahagian ligamen dan tendon tangan kirinya dan pemain nombor 11 di dunia itu akan mengetahui lebih lanjut kecederaan yang dialami selepas pembedahan tersebut selesai.

Pemain berusia 26 tahun itu telah mengeluarkan kenyataan di laman sosial Twitter dan Facebook: "Terima kasih di atas sokongan anda. Seperti yang telah diketahui, saya telah diserang oleh seorang individu yang menggunakan pisau.

"Dalam usaha untuk mempertahankan diri saya, saya mengalami kecederaan yang serius di bahagian tangan kiri saya. Saya sangat bertuah kerana masih bernyawa.

"Ia merupakan kecederaan serius dan saya perlu berjumpa dengan pakar.

"Terima kasih sekali lagi di atas sokongan anda dan saya memerlukan privasi sementara kecederaan saya pulih sepenuhnya."