Dominic Thiem mengatasi Filip Krajinovic dalam pertarungan tiga set untuk menawan kejohanan pertunjukan, Jelajah Adria, di Belgrade awal pagi tadi.

Pemain nombor tiga dunia itu memenangi set pertama selepas menguasai 'tie break' tetapi gagal mengulangi rentak cemerlangnya dalam set kedua, sekali gus mengheret permainan ke set penentuan.

Thiem melakukan 'break' dalam game ketiga sebelum mengekalkan servisnya ke ambang kegemilangan.

Sementara itu, Krajinovic, yang mara ke final dengan mengetepikan cabaran Novak Djokovic, sukar menyekat kejayaannya lawannya dari Austria itu dengan kemenangan 4-3 (7-2), 2-4, 4-2.

Impian Djokovic untuk melakar kejayaan di tanah air sendiri tidak kesampaian berikutan menduduki tempat kedua dalam kumpulannya susulan kekalahan kepada Krajinovic dalam perlawanan kedua liga sepusingan kelmarin terbukti perlu dibayar dengan harga mahal.

Walaupun pemain nombor satu dunia itu mencatat kemenangan 4-0, 1-4, 4-2 ke atas Alexander Zverev di Pusat Tenis Novak semalam, ia belum cukup untuk mengubah nasibnya.

Kejohanan melibatkan lapan pemain itu merupakan edisi pembukaan bagi Jelajah Adria dan Zadar di Croatia akan menjadi penganjur seterusnya, bermula 21-22 Jun ini.

Edisi penutup yang dirancang di Montenegro pada 27-28 Jun depan bagaimanapun terpaksa dibatalkan berikutan sekatan berhubung wabak COVID-19, oleh itu Bosnia pada awal bulan depan akan menjadi destinasi terakhir.

Jelajah Adria akan berakhir pada 5 Julai depan yang menyaksikan Djokovic akan menghadapi Damir Dzumhur dalam pertarungan pertunjukan di Sarajevo.