Dan Evans percaya Novak Djokovic memberikan "contoh yang buruk" menerusi penganjuran Jelajah Adria dan berharap tindakan itu tidak menyebabkan perancangan untuk mengadakan Terbuka Amerika Syarikat (AS) dipertimbangkan semula.

Djokovic merupakan tulang belakang kejohanan pertunjukan itu di Serbia dan Croatia sebelum perlawanan akhir di Zadar di antara pemain nombor satu dunia berkenaan dan Andrey Rublev terpaksa dibatalkan gara-gara Grigor Dimitrov diuji positif COVID-19.

Borna Coric kemudian mendedahkan dia juga dijangkiti pandemik itu sementara jurulatih Dimitrov, Christian Groh, dan jurulatih kecergasan Djokovic, Marko Paniki, dilaporkan turut dijangkiti.

Pemain nombor satu British itu mengkritik langkah "pengabaian sepenuhnya" terhadap penjarakan sosial apabila gambar peserta yang terbabit ketika menari bersama di kelab malam dan bermain bola keranjang menjadi tular.

Dia berkata: "Saya rasa ia adalah satu contoh yang buruk. Walaupun garis panduan penjarakan diri di negara itu bukanlah dua meter, saya rasa kita semua harus mengamalkannya. Ia bukan boleh dibuat main-main, bukankah begitu?

"Biarpun garis panduan yang dikeluarkan di negara ini (England) akan bertukar kepada normal sekalipun, saya tetap akan berusaha mengamalkan penjarakan sosial. Justeru, saya rasa langkah itu telah diabaikan.

"Sangat malang Grigor kerana dijangkiti, Coric juga begitu tetapi panduan telah diabaikan, adakah ia satu kejutan? Saya rasa itulah soalan yang harus kita semua persoalkan.

"Saya rasa kami pasti boleh belajar daripada periswita ini. Semoga kejohanan itu tidak menjejaskan penganjuran Terbuka AS, saya harap ia tidak diperlu dipertimbangkan.

Ketika ditanya sama ada Djokovic harus mempertimbangkan kedudukannya sebagai presiden Majlis Pemain ATP, Evans berkata: "Saya tidak tahu. Secara jujurnya, ketika saya duduk dalam mesyuarat itu, saya tidak tahu bagaimana ia benar-benar berfungsi dan bagaimana mereka boleh mencapai keputusan berkenaan.

"Tetapi saya rasa anda tidak seharusnya mengadakan pesta antara pemain dan menari.

"Kemudian, dua pemain tenis yang sangat bagus didapati positif, jadi anda harus bertanggungjawab terhadap kejohanan itu dan kesannya."

Jelajah ATP telah ditangguhkan sejak Mac lalu tetapi dijadualkan kembali rancak menerusi Terbuka Citi, 14 Ogos depan.

Terbuka Barat dan Selatan pula akan menyusul menjelang Terbuka AS pada 31 Ogos.

Kejohanan itu sama ada akan berlangsung dengan jumlah kehadiran peminat yang dikurangkan atau secara tertutup akan diputuskan kelak.