Halep tagih tuah 2018 buru gelaran sulung Grand Slam  

Oleh Penulis Jemputan 8 Disember 2017 19
 Halep tagih tuah 2018 buru gelaran sulung Grand Slam  
Simona Halep berharap tahun 2018 akan menjadi tahun dia menawan Terbuka Perancis untuk mengakhiri penantian gelaran sulung Grand Slam.

Paris menjadi saksi persembahan terbaik Halep dalam beberapa tahun kebelakangan ini, namun ia sering berakhir dengan kekecewaan.

Dalam dua kesempatan -- 2014 dan 2017 -- dia menjejak kaki ke final tetapi disekat oleh Maria Sharapova dan Jelena Ostapenko untuk menjulang trofi Coupe Suzanne Lenglen itu. 

Selepas kekalahannya kepada Ostapenko pada pada awal tahun ini, Halep mara ke suku akhir Wimbledon sebelum pulang awal dalam Terbuka Amerika Syarikat (AS). 

Bagaimanapun, Halep menemui penghujung positif apabila dia menduduki tangga teratas ranking dunia menuju musim 2018, sesuatu yang diharapkan agar dapat menyediakan platform buatnya menamatkan penantian Grand Slam, tahun depan.

"Impian saya yang seterusnya adalah untuk memenangi Grand Slam," katanya kepada Omnisport.

"Satu-satunya matlamat saya dalam kerjaya ini -- saya tidak tahu sama ada tahun depan tetapi untuk tahun-tahun akan datang -- adalah memenangi Grand Slam."

Ditanya sama ada Roland Garros memberi peluang terbaik untuknya mencapai sasaran itu, dia menambah: "Saya fikir begitu.

"Saya sudah mara dalam dua perlawanan akhir di sana dan saya berasakan gelanggang itu (tanah liat) sesuai dengan saya.

"Saya membesar di atas tanah liat dan ia memberi sedikit kelebihan untuk saya bermain di sana."

Terbuka Australia merupakan Grand Slam pertama yang menjadi rebutan, namun dengan status nombor satu menyuntik keyakinan baru, Halep tidak menganggap dia adalah pencabar utama di Melbourne Park nanti.

Menurutnya lagi: "Bukan mudah untuk kembali setelah tempoh rehat tiga bulan berakhir, jadi agak sukar untuk bersaing dalam dua bulan terawal.  Sebab itulah saya akan bermula dengan satu kejohanan sebelum Terbuka Australia.

"Saya pernah layak ke separuh akhir di sana sebanyak dua kali, jadi saya mempunyai peluang.

"Sudah tentu, dengan pencapaian ini (menjadi pemain nombor satu dunia), keyakinan saya lebih tinggi tetapi saya tidak boleh mengatakan saya adalah pilihan.

"Saya hanya mahu bersedia, bekerja keras dan melihat apa yang akan berlaku."

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen