Pengarah Terbuka Perancis, Guy Forget, mendedahkan dia sedang bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa tenis bagi memastikan kejohanan di Roland Garros tidak bertembung dengan Terbuka Amerika Syarikat (AS).

Kejohanan grand slam di Paris itu pada awalnya dijadualkan hari ini tetapi penularan wabak koronavirus baru (Covid-19) memaksanya ditangguhkan hingga 20 September depan -- seminggu selepas final Terbuka AS.

Cadangan itu pantas mengundang kritikan manakala kalendar untuk sepanjang musim ini masih belum diputuskan yang menyaksikan kejohanan Jelajah Persatuan Tenis Profesional (ATP) dan Jelajah Persatuan Tenis Wanita (WTA) ditunda hingga awal Ogos depan.

Forget mengatakan bahawa dia sedang berusaha mencapai jalan penyelesaian yang sesuai sambil berharap pengumuman mengenai Terbuka AS bulan depan.




"Pengumuman rasmi belum dibuat. Terbuka Perancis mungkin akan berlangsung di antara akhir September dan awal Oktober depan," katanya kepada stesen radio Perancis Europe 1.

"Kami sedang bekerjasama erat dengan ATP, WTA dan Persekutuan Tenis Antarabangsa (ITF) untuk membuat pengumuman global mengenai perjalanan kejohanan hingga akhir tahun ini.

"Terdapat begitu banyak tanda tanya. Bandar Raya New York terjejas teruk akibat koronavirus berbanding Perancis. Mereka juga mempunyai banyak masalah organisasi.

"Mereka akan membuat pengumuman pertengahan bulan depan mengenai Terbuka AS."

Menurut Universiti John Hopkins, Bandar Raya New York telah melibatkan sebanyak 197,266 kes positif dengan 28.926 kematian. Perancis pula dengan 182.018 kes dan 28.218 kematian.

Sukan profesional telah dilarang di Perancis hingga September depan tetapi Forget tetap optimis tentang peluang untuk mengadakan kejohanan di gelanggang tanah liar itu memandangkan pihak kerajaan akan mula membenarkan perniagaan beroperasi.