Final Terbuka Perancis: Edisi 2015 jadi azimat Djokovic tawan Nadal 

Oleh Shaiful Shamsudin 10 Oktober 2020 199
 Final Terbuka Perancis: Edisi 2015 jadi azimat Djokovic tawan Nadal 
Novak Djokovic sedia menikmati pertemuan getir dengan jaguh terhandal gelanggang tanah liat, Rafael Nadal, dalam perlawanan akhir Kejohanan Tenis Grand Slam Terbuka Perancis, malam ini. 

Pemain pilihan utama itu menamatkan perjuangan Stefanos Tsitsipas untuk memenangi aksi separuh akhir kedua 6-3, 6-2, 5-7, 4-6, 6-1 di Roland Garros awal pagi tadi sementara Nadal menundukkan Diego Schwartzman dalam pertarungan set straight.

Pemain nombor satu dunia itu akan berhitung dengan juara Terbuka Perancis sebanyak 12 kali berkenaan dalam satu pertemuan menarik di Court Philippe-Chatrier malam ini.

Djokovic telah memenangi 29 daripada 55 pertemuan di antara dua pemain terbaik sepanjang zaman itu sambil pemain Serbia tersebut dan Robin Soderling muncul satu-satunya pemain yang berjaya menundukkan pemain Sepanyol terbabit dalam acara Grand Slam di Paris.

Nadal belum pernah kalah dalam final tatkala dalam prestasi memberangsangkan, justeru Djokovic amat memahami betapa sukar rintangan yang bakal dihadapinya bagi menafikan kejayaan Raja Tanah Liat itu bagi meraikan gelaran Grand Slam ke-20 peribadinya.

 

Djokovic, juara 17 gelaran utama tetapi hanya sekali pernah menikmati kejayaan manis di Roland Garros iaitu pada 2016, dalam wawancara di tengah gelanggang berkata: "Ini adalah halamannya (Nadal) atas semua gelaran yang pernah dimenanginya. Tetapi saya pernah mengalahkannya pada 2015.

"Saya berharap dapat pulihkan tenaga. Ini adalah satu cabaran terbesar untuk berdepan Nadal di Roland Garros tetapi saya bermotivasi untuk mencapai menang."

Diminta mengulas lebih lanjut mengenai ulasannya itu, tambah Djokovic: "Baiklah, bukankah ia sudah cukup jelas? Dia memenangi kejohanan ini berkali-kali dan saya rasa tiada pemain yang pernah melakukannya. 

"Dia sekadar tewas dua kali sepanjang kariernya di gelanggang ini. Jelas keadaannya berbeza kerana biasanya kami akan beraksi di sini sekitar Mei dan Jun.

"Saya rasa ini mungkin satu peluang yang lebih baik buat saya, bola pula tidak melantun melebihi paras bahu seperti yang digemarinya.

"Biar apa pun keadaannya, dia masih lagi Rafa, dia mara ke final dan kami akan berentap di atas tanah liat. Untuk berdepannya dalam pertarungan lima set terbaik di Roland Garros, saya memahami perasaannya.

"Saya sering kalah ketika berdepan dengannya di gelanggang ini tetapi saya juga pernah menang sekali pada 2015 iaitu menerusi kemenangan straight set di peringkat suku akhir.

"Itulah perlawanan yang akan saya kaji semula dan jelas sekali cuba mengambil aura positifnya dan menggunakannya bagi tujuan taktikal.Saya tidak begitu letih secara fizikalnya selepas perlawanan malam ini yang memakan masa hampir empat jam. Ia sangat bagus untuk pertarungan. 

"Tetapi saya berasa dalam keadaan baik. Saya rasa tempoh sehari setengah akan memberi ruang untuk saya pulih. Saya benar-benar menantikan pertarungan hebat dengan Rafa."

 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen