Final ATP: Nadal gembira ke separuh akhir tapi rindu penonton di London

Oleh Muzaffar Musa 20 November 2020 73
Final ATP: Nadal gembira ke separuh akhir tapi rindu penonton di London
Rafael Nadal gembira kerana dapat beraksi dalam separuh akhir Kejohanan Jelajah Final ATP buat kali pertama sejak 2015, namun satu-satunya kekecewaannya adalah peyokongnya tidak dapat hadir ke Arena O2.

Nadal menempah tempat ke separuh akhir selepas menewaskan juara bertahan, Stefanos Tsitsipas, 6-4, 4-6, 6-2 di London awal pagi tadi.

Pemenang 20 kali kejohanan grand slam itu mendominasi set pertama tetapi membenarkan lawan di ranking keenam dunia itu bangkit dalam set kedua sebelum mudah menguasai set penentuan.

Nadal tidak pernah memenangi Final ATP dan ia merupakan kali keenam bintang Sepanyol itu layak ke separuh akhir kejohanan berkenaan dan ia juga merupakan edisi terakhir kejohanan itu dianjurkan di London sebelum berpindah ke Turin bermula tahun depan.

Walaupun gembira dengan kemaraannya ke separuh akhir -- dan berpotensi untuk bertemu pemain nombor satu dunia, Novak Djokovic -- Nadal kecewa dia tidak dapat berkongsi momen itu bersama penyokongnya memandangkan acara sukan di United Kingdom tidak membenarkan kehadiran penonton disebabkan pandemik COVID-19.

"Saya fikir saya bermain dengan agak baik pada kebanyakan masa. Perlawanan itu, ketika kedudukan 5-4 dalam set kedua, ia sedikit memberikan kesan kepada saya," kata Nadal dalam sesi temu bual di gelanggang.

"Saya fikir saya agak selesa sehingga waktu itu, selepas itu segalanya berubah sedikit, saya mula melakukan servis dengan kurang baik tetapi pada akhirnya, ia satu perlawanan yang positif buat saya dan untuk berada dalam separuh akhir adalah satu lagi perkara penting.
 
"Tahun lalu, saya kurang bernasib baik kerana tidak dapat ke separuh akhir, setahun sebelum itu saya menarik diri.

"Ia sentiasa sukar untuk bermain di sini, berdepan pemain terbaik dunia setiap hari pada penghujung musim. Tahun ini ia sedikit berbeza.

"Ia situasi yang menyedihkan, kebiasaannya selepas perlawanan, suasananya amat luar biasa. Ia kisah yang berbeza.

"Ia menyedihkan untuk mengucapkan selamat tinggal kepada tempat yang hebat ini tetapi itulah yang kita sedang hadapi di seluruh dunia, jadi saya teruja untuk berada dalam separuh akhir dan berharap dapat bersedia untuk memberikan yang terbaik," katanya.
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen