Final ATP: Djokovic bangga bergelar pemain nombor satu buat kali keenam 

Oleh Shaiful Shamsudin 16 November 2020 88
 Final ATP: Djokovic bangga bergelar pemain nombor satu buat kali keenam 
Novak Djokovic menanggung emosi yang bercampur-baur selepas mengulangi pencapaiannya dengan merangkul kejuaraan keenam selain mengakhiri musim ini sebagai pemain nombor satu dunia. 

Djokovic menghasilkan prestasi itu buat kali keenam dalam 10 tahun terakhir bagi menyamai statistik legenda Amerika Syarikat (AS), Pete Sampras -- yang mengakhiri enam musim berturut-turut di puncak saingan tenis lelaki di antara 1993 hingga 1998.

Juara grand slam 17 kali dari Serbia itu meraih gelaran Terbuka Australia buat kali kelapan termasuk empat gelaran lagi dengan catatan 39 kemenangan dan tiga kekalahan sepanjang tahun ini.

Dia sudah bersedia untuk menghadapi kempen pusingan akhir (Final) Jelajah ATP buat kali keenam dan kali ini di London di mana dia akan menentang Daniil Medvedev, Alexander Zverev dan Diego Schwartzman dalam Kumpulan Tokyo 1970. 


 


"Saya sangat gembira," katanya kepada ATPTour.com. 

"Ini adalah tahun yang pelik apabila kita semua terpaksa terpisah selama enam bulan.

"Kami menyambung semula kempen musim ini Ogos lalu, dan saya masih mampu mengekalkan rentak sebelum musim ini tertangguh dengan melalui kemaraan yang hebat. Saya sangat gembira. 

"Saya harus berterima kasih banyak kepada pasukan saya kerana menyokong saya dalam detik yang sukar dan terus mempercayai saya. Ini adalah mahkota untuk semua pencapaian pada tahun ini dan sukar dipercaya saya berjaya menamatkan kempen tahun ini di tempat pertama buat kali keenam.

"Jadi saya sangat bangga dengannya tetapi saya mempunyai emosi yang bercampur-baur atas apa yang sedang berlaku di dunia ketika ini. Saya tidak boleh mengabaikannya biarpun saya telah mencapai salah satu daripada matlamat terbesar dalam sukan.

"Saya berasa ramai orang di dunia ini ditimpa kesusahan dan saya bersimpati."

Djokovic akan memulakan kempen Final ATP menentang Diego Schwartzman di The O2 Arena malam ini.

 

Tentang Penulis

Shaiful Shamsudin

Komen