Dominic Thiem memuji Pablo Carreno Busta atas persembahannya selepas menggantikan tempat Rafael Nadal dalam Kejohanan Final ATP.

Thiem mengatasi pemain Sepanyol itu, 6-3, 3-6, 6-4, dalam aksi Kumpulan Pete Sampras, malam tadi lalu mencerahkan peluangnya ke separuh akhir di London.

Carreno Busta terpilih untuk menggantikan Nadal, yang terpaksa menarik diri daripada kejohanan itu berikutan masalah lutut ketika tewas kepada David Goffin.

Thiem menegaskan pemain nombor 10 dunia itu beraksi baik selepas menggantikan rakan senegaranya itu.

"Ia perlawanan yang cukup sengit. Dia mengambil tempat Rafa dengan cukup baik sekali," ujar pemain Austria itu.

"Sekali lagi, ia pertarungan tiga set yang sangat sengit dan saya gembira dapat meneruskan kemaraan. Perlawanan ini sangat sukar sehingga ke perhujung pertarungan.

"Saya memulakan permainan dengan sangat baik dan kehilangan sedikit rentak selepas dia mendahului 40-0 dalam set kedua.

"Set ketiga berlangsung tidak menentu tetapi seimbang, mujurlah saya memungut mata akhir terlebih dahulu," katanya.

Thiem akan berdepan dengan Goffin dengan rekod seimbang 1-1 untuk aksi terakhir peringkat kumpulan.