Roger Federer mengesahkan penyertaannya dalam usahanya menawan gelanggang tanah liat menerusi Kejohanan Tenis Terbuka Perancis dan Terbuka Geneva.

Juara 20 Grand Slam itu membuat kemunculan semula dalam Terbuka Qatar bulan lalu selepas berehat lama berikutan pembedahan lutut.

Federer diketepikan Nikoloz Basilashvili di peringkat suku akhir sebelum memilih untuk tidak beraksi di Dubai dan Miami.

Pemain Switzerland berusia 39 tahun itu terlebih dahulu mengumumkan akan membuat penampilan di tanah airnya, Terbuka Geneva, 16 Mei depan.

Pemain nombor tujuh dunia itu juga akan beraksi di Roland Garros, di mana dia mara ke separuh akhir dua tahun lalu dalam penampilan pertamanya di Paris sejak 2015.



Dalam ciapannya di Twitter: "Hai semua! Berbesar hati untuk memaklumkan kepada anda bahawa saya akan beraksi di Geneva dan Paris.

"Saya akan menggunakan masa yang ada untuk berlatih. Tidak sabar untuk beraksi di Switzerland lagi."

Raja Tanah Liat, Rafael Nadal, akan menjadi pilihan utama untuk mengatasi jumlah gelaran grand slam milik Federer di Paris apabila telah mengungguli Terbuka Perancis sebanyak 13 kali.