Legenda tenis, Roger Federer dan Rafael Nadal, berpendapat sudah tiba masa untuk penggabungan saingan WTA dan ATP.

Kedua-dua kejohanan lelaki (ATP) dan wanita (WTA) terpaksa ditangguhkan, sekurang-kurangnya sehingga pertengahan Julai susulan wabak coronavirus.

Bintang Switzerland, Federer, kini memikirkan kemungkinan untuk menjadikan kedua-dua acara jelajah itu di bawah kelolaan satu badan dan meluahkannya menerusi Twitter.

"Adakah saya sahaja yang memikirkan sudah tiba masa untuk acara lelaki dan wanita digabungkan menjadi satu?" katanya.


"Saya tidak bercakap mengenai penggabungan kejohanan di atas gelanggang tetapi menganjurkannya menerusi satu badan untuk kejohanan lelaki dan wanita."

Pendapat Federer itu turut disokong Nadal menerusi Twitter.

"Hey @rogerfederer seperti apa yang pernah dibincangkan, saya bersetuju dan ia pastinya hebat untuk mengelakkan daripada krisis dunia menerusi penggabungan saingan lelaki dan wanita."