Usaha Roger Federer dalam pemburuan gelaran Terbuka Western & Eastern bermula dengan kemenangan ke atas Juan Ignacio Londero.

Pilihan ketiga kejohanan itu tidak perlu memerah keringat apabila menumbangkan Londero 6-3, 6-4 dalam meniti laluan ke pusingan 16 di Cincinnati, Amerika Syarikat sebentar tadi.

Juara grand slam 20 kali itu akan menghadapi pemenang di antara Stan Wawrinka dan Andrey Rublev dalam kejohanan bertaraf ATP Masters 1000 itu.

Federer tewas kepada Novak Djokovic dalam pertemuan final tahun lalu tatkala bintang Switzerland berkenaan turun dengan reputasi juara terbanyak kejohanan menerusi tujuh kejayaan.

Pemain berusia 38 tahun itu garang ketika berdepan Londero dengan mendahului 3-0 selepas hanya tujuh minit pertarungan.

Ia adalah penampilan pertama Federer sejak kekalahan dramatiknya di tangan Djokovic dalam penentuan juara Grand Slam Terbuka Wimbledon, bulan lalu, namun sama sekali tidak menunjukkan aksi berkarat untuk mendominasi set pertama dalam tempoh 22 minit.

Londero -- yang lebih selesa beraksi di tanah liat -- melangkah masuk ke set kedua sebelum hujan turun untuk kedudukan terikat 2-2.

Selepas hampir sejam perlawanan tertangguh, Federer kembali mempamerkan aksi tanpa belas kasihan untuk melangkah ke pusingan ketiga.