Novak Djokovic berang akan tindakan pengadil yang memberi amaran terhadapnya gara-gara mengambil masa terlalu lama untuk membuat servis ketika berdepan David Goffin dalam Final Jelajah Dunia ATP.

Wakil Serbia itu merekodkan kemenangan ketiga berturut-turut dalam kejohanan akhir tahun di London apabila melakar kemenangan mudah 6-1, 6-2 ke atas Goffin dalam Kumpulan Ivan Lendl.

Bagaimanapun, perlawanan tersebut turut dipalit beberapa insiden melibatkan Djokovic dan pengadil perlawanan, Fergus Murphy.

Djokovic dikenakan amaran oleh Fergus ekoran mengambil masa yang lama untuk membuat servis selepas menempuh rali yang panjang sebelum dimenangi Goffin yang membuat pukulan lob yang cantik.

Meskipun berakhir dengan kemenangan, Djokovic tetap menyuarakan ketidakpuasan hati terhadap Fergus di akhir perlawanan.

"Kamu dengar dengan jelas apa saya katakan, jadi saya tidak perlu mengulangi kenyataan saya," Djokovic memberitahu Sky Sports.

"Pada saya, sangat tidak adil saya dikenakan hukuman tersebut hanya kerana mengambil masa satu atau dua saat lebih daripada yang dibenarkan.

"Saya faham perlunya menghormati peraturan tetapi perlu juga mengambil kira beberapa faktor lain.

"Kami menempuh rali yang panjang, ini adalah kali pertama saya mengambil masa yang lama sebelum melakukan servis tetapi pengadil terus memberikan amaran.

"Saya tidak faham mengapa dia melakukannya."